Friday, August 7, 2009

TERKINI.....H1N1....SKLK DALAM LAPORAN BERITA STAR

Jumaat Ogos 7, 2009

Sebuah bank, lima sekolah ditutup elak wabak H1N1

KUALA LUMPUR: Sebuah bank di sini dan lima sekolah, dua di Pulau Pinang, dua di Kelantan dan sebuah di Perak diarahkan tutup semalam sebagai langkah membendung penularan wabak Influenza A(H1N1).
Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Taman Len Seng ditutup selama dua hari ekoran seorang daripada kakitangannya disahkan positif H1N1.
Di Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Prihatin dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata dua sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Butterworth dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Kepar, Kepala Batas diarah tutup selama seminggu mulai semalam.
Beliau berkata setakat ini 41 institusi diarah memberhentikan operasinya akibat pandemik itu.
Katanya oleh kerana 60 peratus kes adalah jangkitan tempatan, semua kes yang ada simptom H1N1 akan diberi perhatian bagi memastikan pesakit tidak bertambah teruk.
Di Perak, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu diarah tutup selama seminggu berkuatkuasa semalam ekoran 24 pelajarnya dikesan menghidapi simptom wabak H1N1.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kerja-kerja pembersihan akan dilakukan bagi memastikan sekolah itu benar-benar sihat.
Dalam pada itu, beliau berkata wabak Influenza A(H1N1) di negeri itu terus meningkat dengan pertambahan 10 kes baru menjadikan jumlah keseluruhan 90 kes sehingga pukul 8 pagi semalam.
Di Kelantan, dua sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Naim Lilbanat di Kota Baharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, diarah tutup semalam selama seminggu ekoran penularan wabak H1N1 yang menjadikan ia kes pertama membabitkan penutupan sekolah di negeri ini.
Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Ghazali Ab Rahman berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Jabatan Kesihatan Kelantan semalam yang telah mengadakan perbincangan dengan pentadbiran sekolah untuk melaksanakan arahan menutup sekolah berkenaan.
Beliau yang melawat Sekolah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat berkata seorang pelajar perempuan sekolah itu disahkan dijangkiti H1N1 manakala seorang lagi dari SMK Bachok yang disyaki turut dijangkiti virus itu masih belum dapat disahkan, katanya.
Katanya beliau meminta pelajar dan ibu bapa agar tidak panik berhubung penutupan sekolah terbabit sebaliknya meminta supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelakkan turut dijangkiti wabak itu.
Apa yang penting ibu bapa perlu memantau perkembangan kesihatan anakanaknya dan jangan panik sehingga tidak tahu untuk menghadapi situasi kecemasan dengan sewajarnya.
Dalam pada itu, Alimuddin berkata Kementerian Pelajaran membelanjakan RM2.6 juta untuk membekalkan topeng muka dan penyukat suhu (termometer) di semua sekolah kendaliannya sebagai usaha menghalang penularan wabak H1N1.
Katanya, semua pengetua sekolah diarah melakukan pemeriksaan terhadap semua pelajar semasa perhimpunan harian dan pelajar yang suhu badannya melepasi 37 darjah celsius akan diarah pulang.
"Sehingga bulan lepas, 97 sekolah telah diarah tutup akibat penularan selesema babi dan langkah pencegahan yang paling ketat kini dilaksanakan bagi membendung penularan wabak tersebut di sekolah-sekolah," katanya.
Mengenai lima peperiksaan penting yang dijangka terjejas jika wabak ini terus merebak, Alimuddin berkata Kementerian Pelajaran mempunyai langkah kontingensi tersendiri untuk menangani masalah berkenaan.
Katanya, jika bilangan pelajar terlibat tidak ramai, mereka boleh mengambil peperiksaan di hospital dan jika jumlahnya besar, pelajar itu akan diasingkan di bilik peperiksaan lain di sekolah terlibat.
Jika jumlah pelajar terlalu ramai, sekolah terbabit akan diberikan cuti tetapi pelajar perlu terus mengambil peperiksaan mereka.
"Sehingga kini, tiada arahan untuk mengawal atau menunda peperiksaan tersebut. Semua akan berjalan mengikut jadual," katanya.
Lima peperiksaan penting itu adalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM).
Seramai 77,000 guru dijangka terlibat dalam mengendalikan kesemua peperiksaan berkenaan yang mengambil masa selama 28 hari keseluruhannya. BERNAMA

1 comments:

Nicholas said...

Dah masuk STAR...? Bagus le...arap2..nti ujung thn pun dpt msk Star lg...mne tau...something miracle could be happen...I mean..UPSR le...

. © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute